mutakhir

Disyaki dijangkiti

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

SERAMAI 87 penghuni madrasah di Kubang Bujuk, dekat Kuala Terengganu, dikuarantin selepas disyaki dijangkiti Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak berkata, semua individu itu disahkan Pengesanan Kes Yang Disyaki (PUI) dan ditempatkan di Hospital Hulu Terengganu (HHT) sejak Sabtu lalu.

“Mereka ini dikuarantin di wad kerana mempunyai kontak rapat dengan seorang ahli tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling, Selangor. Pesakit itu singgah di madrasah.

“Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu sudah mengambil langkah sepatutnya seperti menjejaki kontak yang mempunyai kaitan supaya kes ini dapat dibendung.

“Namun, setakat ini belum ada kes yang disahkan positif Covid-19 dan orang ramai tidak perlu panik,” katanya pada sidang media berkenaan wabak Covid-19 di Wisma Darul Iman di sini, semalam.

Dr Alias berkata, kerajaan negeri turut menyediakan empat pusat kuarantin bagi mengekang penyebaran koronavirus di Terengganu iaitu Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini yang mempunyai 58 katil, HHT dengan 156 katil, Scout Inn dan Pusat Latihan di Tepoh masing-masing ada 77 dan 44 katil.

“Setakat ini, hanya HHT diaktifkan bagi menempatkan 87 orang disyaki. Sekiranya berlaku pertambahan kes, kita akan mencadangkan beberapa lokasi lain untuk dijadikan pusat kuarantin,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan sebuah madrasah di Kuala Terengganu ditutup sementara untuk nyahvirus dan kuarantin selama 14 hari bagi mengekang penyebaran virus Covid-19.

Madrasah itu didiami lebih 300 orang termasuk pelajar tahfiz, tenaga pengajar dan staf sokongan.

Disiarkan pada: March 17, 2020 @ 7:55am
d