mutakhir

Elak beli penutup hidung dan mulut di laman sosial - Polis

Oleh Asrol Awang

POLIS menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli penutup hidung dan mulut melalui laman sosial, sebaliknya membeli daripada pembekal sah bagi mengelak ditipu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, langkah itu bagi mengelak individu atau pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan daripada kekurangan bekalan itu berikutan penularan Covid-19.

Katanya, permintaan penutup hidung dan mulut yang tinggi ketika ini menyebabkan rang ramai yang ingin memesan bekalan itu menggunakan media sosial.

“Oleh itu, sebaiknya menyemak latar belakang penjual atau laman sosial sebelum membuat sebarang pembayaran secara atas talian.

“Walaupun tiada kes dilaporkan di Pahang setakat ini, orang ramai tidak boleh terpedaya dengan sebarang tawaran atau jualan berkaitan penutup hidung dan kecuali yang disahkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kelmarin, tiga individu, termasuk dua dari Alor Setar dan seorang di Sungai Petani kerugian RM15,000 selepas pesanan penutup hidung dan mulut terbabit yang dibuat bulan lalu secara dalam talian tidak diterima hingga kini.

Disiarkan pada: March 17, 2020 @ 12:02pm
d