mutakhir

42 kes positif Covid-19 di Sarawak

Oleh Mohd Roji Kawi

LAPAN kes baharu positif Covid-19 direkodkan di Sarawak hari ini menjadikan jumlah keseluruhan disahkan dijangkiti wabak itu setakat ini sebanyak 42 kes.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan, lima daripada kes baharu itu kini dirawat di Hospital Umum Sarawak, dua di Hospital Miri dan satu di Hospital Sibu.

Menurutnya, sejak Januari lalu sehingga hari ini, sebanyak 502 sampel diambil daripada individu dalam siasatan (PUI) dengan 35 kes baharu, hari ini.

Daripada jumlah itu, 263 diuji negatif manakala 204 lagi masih menunggu keputusan ujian makmal.

Sementara itu, seorang lagi wakil rakyat DAP didakwa positif Covid-19.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, keputusan ujian yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan negeri malam tadi mengesahkan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen, positif wabak itu.

“Dr Kelvin Yii kini dikuarantin di Hospital Umum Sarawak untuk memantau selanjutnya berdasarkan prosedur standard yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Beliau berada bersama Ahli Parlimen Sarikei, Wong Ling Biu pada 2 Mac lalu, bagaimanapun sejak 14 hari lalu, Dr Kelvin Yii tidak menunjukkan tanda-tanda gejala virus yang biasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain Ling Biu yang kini dirawat di Hospital Sibu, anaknya yang juga atlet kebangsaan, Jacky Wong, turut dirawat di hospital sama selepas diuji positif wabak berkenaan.

Semalam, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg mengesahkan Jabatan Kesihatan negeri sedang memantau rapi keadaan Ling Biu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 17, 2020 @ 1:08pm
    d