mutakhir

Tolong bantu kami...

Oleh Yusmizal Dolah Aling

SEKRETARIAT Jawatankuasa Khas Covid-19 meminta kerajaan memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi kedua bagi memperkukuhkan segmen Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), usahawan dan tenaga kerja yang terkesan dengan wabak Covid-19.

Setiausahanya Shahul Dawood berkata, satu memorandum tuntutan mengandungi 10 perkara akan diserahkan kepada Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, hari ini.

Katanya, ia termasuk penangguhan enam bulan bayaran balik semua pinjaman bank, perumahan, sewa beli dan semua perniagaan berkaitan kemudahan pinjaman.

Selain itu, pihaknya juga meminta pengecualian cukai barang dan perkhidmatan sehingga Disember tahun ini bagi semua sektor terutama yang mempunyai kesan langsung sepanjang tahun ini.

“Kita juga mahukan insentif khas diberikan kepada perniagaan yang membabitkan teknologi digital, mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE), perniagaan berasaskan makanan dan sebagainya

“Kerajaan juga perlu mengumumkan penubuhan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) bagi memantau pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE 2020) bertujuan memastikan semua inisiatif diumumkan dalam pakej rangsangan RM20 bilion itu.

“Dana RM3.5 bilion yang diperuntukkan terutama untuk PKS adalah tidak mencukupi,” katanya pada sidang media di Bangsar, Kuala Lumpur, hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas semalam mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan khusus bagi membendung penularan Covid-19 di negara ini mulai esok hingga 31 Mac ini.

Ia turut membabitkan sektor pelancongan, perhotelan, agensi kerajaan, swasta serta entiti perniagaan di negara ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 17, 2020 @ 4:23pm
    d