mutakhir

Reda, harap urusan jenazah dipercepatkan

Oleh Omar Ahmad

WARIS mangsa korban insiden letupan dan kebakaran di Unit Diesel Hydro Treater (DHT) di Kompleks Bersepadu Pengerang berharap keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dapat diperoleh dengan segera.

Rose Abang Din, 54, ibu kepada Hadi Syafiq Jamil, 28 juga berharap supaya urusan jenazah dapat dilakukan secepat mungkin.

Katanya, sebagai ibu dia berharap proses itu dipercepatkan dan pengecaman dapat dilakukan untuk menguruskan jenazah dengan lancar.

“Kami reda dengan apa yang menimpa arwah. Kali terakhir kami berjumpa pada Disember lalu ketika dia bercuti 10 hari.

“Kalau ikutkan arwah merancang untuk mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihan dari Kuching, Sarawak, namun tidak kesampaian,” katanya ketika yang memaklumkan tahun ini adalah tahun keempat anaknya berkhidmat dalam bidang gas dan petroleum.

Hasrat sama turut dikongsi, Nor Efendi Ismail, 39 abang ipar kepada Norfazly Md Nor, 31 yang turut berharap segala urusan dapat diselesaikan hari ini.

Dia yang menggalas tanggungjawab bagi membantu adiknya berkata, isteri arwah Norfazly masih dalam keadaan sedih dan amat berharap dapat menatap jenazah suaminya.

“Kita terpaksa akur prosedur itu (sekiranya proses ambil masa lebih dari 48 jam) tapi saya memohon jasa baik belas ihsan pihak yang berkaitan kalau boleh semua waris mengharapkan petang ini dapat membawa balik jenazah ke kampung untuk disemadikan.

“Arwah ini bapa, suami dan anak yang baik, sudah pasti anak, isteri dan adik beradik mahu urusan pengebumian dilakukan dengan lancar,” katanya.

Disiarkan pada: March 17, 2020 @ 5:40pm
d