mutakhir

Sediakan penempatan sementara di IPT

Oleh Yusmizal Dolah Aling

INSTITUSI pengajian tinggi (IPT) perlu menyediakan penempatan sementara kepada penuntut yang menghadapi kekangan untuk pulang ke kampung halaman.

Itu permintaan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad kepada pengurusan IPT dalam usaha memastikan proses mengosongkan kampus berjalan lancar dan tidak menyusahkan mahasiswa.

Katanya, ini kerana tindakan pulang ke kampung dalam keadaan tergesa-gesa tanpa melalui pemantauan rapi dikhuatiri akan mengeruhkan keadaan dan menyebabkan mahasiswa lebih terdedah kepada wabak Covid-19.

Selain itu katanya, pusat pengajian berkenaan juga diminta memastikan penuntut mendapat akses makanan melalui kafeteria bagi memastikan mereka tidak menghadapi masalah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

“Penuntut diminta peka dengan arahan semasa yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa. Insya-Allah, kita akan bersama-sama berjaya menangani wabak ini,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook, hari ini.

Semalam, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengumumkan penutupan seluruh premis universiti itu bagi kampus cawangan Pagoh untuk proses dekontaminasi bagi membendung penularan Covid-19.

Dalam pekeliling rasmi Naib Canselor UTHM, Prof Datuk Dr Wahid Razzaly, pihak universiti akan menjalankan proses dekontaminasi membabitkan keseluruhan premis di kampus berkenaan yang akan dijalankan secara menyeluruh.

Sementara pihak pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula mengarahkan semua penuntutnya untuk bercuti selama 10 hari sebelum ini.

Ia sebagai langkah berjaga-jaga dalam usaha menangani penularan wabak koronavirus baharu Covid-19 dan mencegah sebarang jangkitan di universiti berkenaan.

Selain itu, Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengaktifkan mod pengajaran dan pembelajaran (P&P) menggunakan e-Learning dengan aplikasi dalam talian, berkuat kuasa semalam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 17, 2020 @ 8:27pm
    d