mutakhir

Aktiviti masjid, surau ditangguh hingga 31 Mac

Oleh Shahrinnahar Latib

SEMUA aktiviti di masjid dan surau termasuk, solat Jumaat dan solat berjemaah di negeri ini, ditangguhkan bermula esok sehingga 31 Mac ini.

Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, bagaimanapun azan tetap akan dilaungkan seperti biasa di masjid dan surau di seluruh negeri ini walaupun semua aktiviti keagamaan ditangguhkan.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang yang telah bersidang pada hari ini.

“Semua umat Islam di negeri ini disarankan untuk menunaikan solat jemaah di rumah masing-masing. Tempoh 13 hari berkenaan adalah tertakluk kepada nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya pada kenyataan.

Beliau berkata, sekiranya berlaku kematian akibat Covid-19, pengurusan jenazah hendaklah dilaksanakan mengikut keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang yang bersidang pada 14 Mei 2015 mengenai hukum pengurusan jenazah orang Islam yang disyaki atau disahkan dijangkiti virus Ebola (Ebola Virus Disease: EVD) di Malaysia.

“Kelonggaran diberikan sekiranya ada kemungkinan wujud kemudaratan kepada yang menguruskan jenazah.

“Jenazah boleh diuruskan melalui prosedur tayamum di atas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik yang membalut jenazah tersebut,” katanya.

Beliau berkata, perihal ini terpakai di seluruh negeri Pahang dengan titah perkenan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 17, 2020 @ 9:22pm
    d