mutakhir

Penganggur ditahan jual pil kuda

Oleh Nor Amalina Alias

PERCUBAAN seorang lelaki berjinak-jinak menjadi pengedar dadah gagal apabila dia ditahan bersama 8,200 pil kuda di sebuah stesen minyak di Padang Melintang di sini, 15 Mac lalu.

Suspek berusia 22 tahun itu ditahan ketika berada di atas motosikalnya oleh anggota polis hasil maklumat awam dan risikan.

Ketua Polis Daerah Bachok Deputi Superintendan Samsulmuddin Sulaiman berkata, suspek mencampak bungkusan kuning yang mengandungi 4,000 pil kuda atau pil yaba sejurus menyedari kehadiran polis.

Katanya, suspek cuba melarikan diri namun dapat ditahan.

“Hasil siasatan lanjut, suspek membawa polis ke rumahnya di Kampung Takang, Jejulok, Banggu dan menemui 4,200 biji pil kuda di bilik tidurnya.

“Keseluruhan hasil rampasan berjumlah RM82,000 dan suspek dipercayai baru terbabit mengedar dadah di daerah ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek kini direman bagi membantu siasatan.

“Suspek yang juga penganggur ini tiada rekod jenayah lampau. Suspek mendapatkan bekalan dadah dari Pasir Mas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1942,” katanya.

Disiarkan pada: March 17, 2020 @ 9:31pm
d