mutakhir

Bekalan beras negara mencukupi [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

BAGI memastikan bekalan beras mencukupi, Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menjalankan pemeriksaan rutin tiga kali seminggu di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya Azman Mahmood berkata, seramai 168 pegawai penguat kuasa terbabit dalam pemeriksaan di stor beras terutama ketika negara berdepan penularan wabak Covid-19, ketika ini.

Katanya, tindakan itu diambil bagi memastikan bukan saja bekalan beras mencukupi, malah ia dijual mengikut harga kawalan serta pelesen membuat tempahan kepada pembekal seperti sepatutnya.

“Kita akan periksa di kedai-kedai, pasar raya dan kedai serbaneka untuk pastikan bekalan beras mencukupi dan tiada pembelian panik.

“Ini ada rutin penguat kuasa sejak dulu, cuma kita giatkan lagi ketika isu wabak ini menimbulkan keresahan. Setakat ini semuanya terkawal,” katanya kepada Harian Metro.

Azman berkata, pihaknya juga mengingatkan peniaga supaya tidak menyembunyikan bekalan selain menjualnya pada harga kawalan seperti ditetapkan kerajaan.

Katanya, pegawai penguat kuasa mengadakan pemeriksaan rutin di Ipoh, Perak, hari ini dan mendapati pelesen mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa.

“Kawal Selia negeri akan terus mengadakan pemeriksaan seperti ini untuk memeriksa stok secara berterusan.

“Saya nasihatkan pengguna supaya tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan sedia ada mencukupi, tidak perlu bimbang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 17, 2020 @ 10:39pm
    d