mutakhir

Pemandu maut, treler terbabas

Oleh Recqueal Raimi

SEORANG pemandu treler maut apabila tercampak keluar selepas kenderaan membawa muatan tiang cerucuk konkrit dipandunya terbabas dan terbalik di Kilometer 3, Jalan Ranau - Tamparuli di sini, semalam.

Dalam kejadian 5.25 petang itu, Muhammad Haikal Kiu Abdullah, 44, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Sammy Newton berkata siasatan awal mendapati mangsa memandu treler 12 tan jenis Nissan dari arah Kota Kinabalu menghala Ranau.

“Sebaik menuruni bukit di lokasi, mangsa hilang kawalan dan terbabas di bahu kiri jalan sebelum menyebabkan treler terbalik beberapa kali.”

“Akibat insiden itu, mangsa parah di kepala lalu tercampak keluar daripada kenderaan,” katanya.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh paramedik Hospital Ranau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan 5.28 petang, lapan anggota bergegas ke lokasi beserta satu jentera dan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Pihak bomba segera mendapatkan mangsa berhampiran treler yang terbabas namun paramedik perubatan Hospital Ranau yang turut berada di lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.”

“Pasukan bomba seterusnya mengangkat dan menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala operasi ditamatkan pada 6.44 petang selepas menjalankan pemeriksaan kenderaan serta lokasi untuk mencegah bahaya lain,” katanya.

Disiarkan pada: March 18, 2020 @ 2:33pm
d