mutakhir

PPM kekang jenayah rentas sempadan

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah mengetatkan lagi kawalan dan meningkatkan rondaan serta risikan senyap dalam mengekang jenayah rentas sempadan.

Ia susulan jangkaan kemungkinan berlaku cubaan kegiatan penyeludupan barangan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui perairan Sabah.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, perkara tersebut sudah dijangkan sebelum ini dan pihaknya sentiasa bersedia.

Beliau berkata, namun demikian pihaknya sentiasa mengekalkan momentum kawalan di perairan Sabah dalam mana-mana situasi.

“Pasukan kami sentiasa meneruskan agenda memerangi jenayah rentas sempadan secara berterusan.

“Kita sentiasa fokus kepada ‘kidnap for ransom’ (KFR) ini, pencerobohan nelayan asing, bom ikan, penyeludupan dan pati,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad berkata, sejak awal tahun ini tiada sebarang peningkatan kes penyeludupan dan kemasukan pati ke perairan Sabah.

“Aktiviti penyeludupan kita tidak nafi ada berlaku namun sejak akhir-akhir ini kita nampak kes jenayah rentas sempadan di perairan Sabah kita semakin berkurang.

“Ini kerana keberkesanan dari segi penguatkuasaan dan operasi-operasi yang dilancarkan dengan kerjasama semua agensi penguatkuasaan di timur Sabah,” katanya.

Mohamad berkata, susulan pengumuman Kawalan Perintah Pegerakan pihaknya memperketatkan lagi operasi di perairan Sabah.

“Kami juga diarahkan untuk melaksanakan kawalan pintu masuk ke perairan Sabah seperti bot feri Indonesia ke Tawau dan Labuan yang sudah diarahkan ditutup sebelum ini.

“Selain itu kami juga sentiasa memeriksa bot pengangkutan Filipina ke Labuan, Sandakan dan Tawau,” katanya.

Disiarkan pada: March 18, 2020 @ 2:55pm
d