mutakhir

Wanita didakwa perdagang wanita lain

Oleh BERNAMA

SEMBILAN individu termasuk enam wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown, hari ini atas tiga pertuduhan memperdagangkan tiga wanita tempatan untuk eksploitasi seks di sebuah rumah di Batu Maung, sejak 2017.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa Tamil di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap yang bertindak sebagai hakim.

Tertuduh lelaki ialah K Kumaran, 40; P Pumugam, 33, dan E Eswaran, 22, manakala tertuduh wanita terdiri daripada isteri Kumaran, D Dhanam, 36; S S.Rajesvari, 35; B. Kavitah, 34; adik-beradik T Sarmilah, 24; dan Kausalya, 22; serta ibu mentua Kumaran, S Leelavathy, 48.

Kesemua tertuduh didakwa secara bersama dengan seorang lagi suspek yang masih bebas memperdagangkan tiga wanita berusia antara 24 dan 37 tahun bagi maksud pelacuran di sebuah rumah mewah di Jalan Southbay 7, Residence @ Southbay, Batu Maung, dekat Georgetown, antara Jun 2017 hingga Januari lalu.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Aimy Zainul Anwar tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh atas alasan mereka terbabit dalam sindiket pemerdagangan pelacuran, selain bimbang mereka akan mengganggu mangsa.

Peguam Dr Shamsher Singh Thind yang mewakili kesemua tertuduh, memohon jaminan atas alasan kesemua anak guamnya memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis selain Kumaran yang juga pemilik kedai besi buruk perlu menanggung lapan tertuduh itu serta 11 orang anak yang mana tiga daripadanya masih kanak-kanak.

Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 18 Mei depan untuk pengurusan kes.

Disiarkan pada: March 18, 2020 @ 4:11pm
d