mutakhir

Rebah di sebelah kereta

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

PEMANDU lori meninggal dunia selepas tiba-tiba rebah di hadapan sebuah kedai runcit di Ajil, Kuala Berang hari ini.

Mangsa, Mohd Shobri Rani, 59, ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebelah keretanya pada 10.20 pagi.

Difahamkan, mangsa sebelum itu dikatakan pergi ke kedai berkenaan untuk membeli barang dengan menaiki kereta Perodua Kancil.

Sebaik selesai membeli barang di kedai berkenaan, mangsa segera menuju ke keretanya sebelum dia rebah dan tidak sedarkan diri.

Orang awam yang melihat kejadian itu menghubungi polis dan hospital tetapi mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan yang hadir ke tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap tubuh badan mangsa tidak menemui kesan luka atau perbuatan jenayah.

“Hasil maklumat daripada isteri mangsa memaklumkan lelaki terbabit mempunyai rekod rawatan kencing manis dan darah tinggi.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Disiarkan pada: March 18, 2020 @ 4:59pm
d