mutakhir

Sukarelawan jaga anak petugas Covid-19

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

KERAJAAN Terengganu sedia membantu menjaga anak petugas dan kakitangan barisan hadapan yang bertungkus-lumus melindungi masyarakat daripada wabak Covid-19, ketika ini.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah itu bagi membantu bebanan yang terpaksa ditanggung golongan terbabit termasuk doktor, jururawat dan wira Covid-19 yang terpaksa meninggalkan keluarga dan anak kecil.

“Kita sudah bersetuju membantu pihak frontliner (hadapan) ini dalam beberapa perkara ini seperti penjagaan anak dan sebagainya.

“Itu dalam proses, kita sedang selesaikan dan kita mempunyai ramai volunteer (sukarelawan) yang menawarkan diri untuk membantu mereka.

“Petugas hospital, doktor dan jururawat terpaksa datang ke hospital serta meninggalkan anak kecil dan sebagainya kerana taska dan pusat penjagaan ditutup.

“Tiada alternatif lain jadi untuk mengurangkan keserabutan kepala masing-masing, kita menawarkan sukarelawan dan tindakan ini akan dilakukan dengan kadar segera,” katanya selepas melakukan lawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu hari ini.

Sementara itu, Ahmad Samsuri turut merayu orang ramai khususnya mereka yang menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur supaya melakukan ujian saringan Covid-19.

Sebelum ini dilaporkan seramai 87 orang terdiri daripada penghuni madrasah di Kubung Bujuk dikuarantin selepas disyaki dijangkiti Covid-19.

Mereka dikuarantin di wad Hospital Hulu Terengganu kerana mempunyai kontak rapat dengan seorang ahli tabligh menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling yang singgah di madrasah berkenaan sebelum ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 18, 2020 @ 6:11pm
    d