mutakhir

Covid-19: Tiada individu lari dari HSI

Oleh Mohamed Farid Noh

TIADA individu yang disyaki mendapat jangkitan Covid-19 melarikan diri daripada Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata siasatan lanjut polis mendapati kedua-dua individu yang disyaki dijangkiti Covid-19 kembali melakukan saringan di hospital sama pada keesokan harinya.

Katanya, kedua-dua Kes Yang Disyaki (PUI) itu membabitkan individu berusia 27 tahun dan enam tahun juga disahkan negatif daripada wabak itu.

“Siasatan awal mendapati dua pesakit berkenaan baru sahaja kembali ke Malaysia selepas bercuti di Korea Selatan.

“Disebabkan penularan wabak Covid-19, dua pesakit itu hadir ke HSI untuk melakukan ujian saringan pada malam semalam. Namun ketika menunggu rawatan, kedua-dua pesakit itu kembali ke rumah atas sebab peribadi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, kedua pesakit kembali ke HSI pada 3 pagi tadi bagi melakukan ujian saringan sebelum disahkan negatif daripada wabak Covid-19.

Pagi ini, tular di media sosial, seorang pegawai perubatan HSI membuat laporan polis berhubung dua pesakit yang disyaki dijangkiti Covid-19 melarikan diri dari HSI.

Tindakan dua pesakit itu bukan sahaja dikecam warga media sosial malah menuduh mereka sebagai tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, dua individu berkenaan juga hadir ke balai polis berhampiran bagi membuat laporan menafikan mereka melarikan diri dari membuat ujian saringan di HSI, semalam.

Polis turut menasihatkan orang ramai untuk melakukan pemeriksaan atau ujian saringan Covid-19 sekiranya mengalami simptom berkaitan wabak berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 18, 2020 @ 7:09pm
    d