mutakhir

Masih ramai ingkar perintah

Oleh Erika George

MASIH ramai penduduk di Bintulu, Sarawak ingkar dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan di hari pertama dikuatkuasakan hari ini.

Mereka dilihat makan dan minum di kedai makan atau restoran sekitar bandar tanpa menghiraukan arahan yang dikeluarkan kerajaan itu.

Jurucakap Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dalam satu kenyataan media hari ini berkata, seramai 40 orang pegawai penguatkuasa BDA dikerah bagi menjalankan pemeriksaan di premis sekitar Bintulu.

“Pemeriksaan yang kita jalankan di beberapa buah kedai mendapati masih terdapat segelintir orang awam yang melanggar arahan yang ditetapkan.

“Setakat ini BDA tidak mengambil tindakan ke atas individu terbabit, sebaliknya hanya memberikan amaran sebelum kesemua mereka diarah beredar,” katanya.

Menurutnya, mereka akan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya masih ingkar dengan arahan yang dikeluarkan.

“Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab sesama ahli keluarga untuk saling mengingatkan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang dua minggu perintah kawalan pergerakan ini dikuatkuasakan.

“Kami memohon bantuan orang ramai supaya melapor segera mana-mana peniaga yang membuka kedai makan mereka serta membenarkan pelanggan untuk menjamu selera di situ,” katannya.

Jurucakap itu berkata, pihaknya tidak menghalang orang ramai untuk membeli bagaimanapun mereka hanya boleh membeli secara bungkus bukan makan di kedai.

Disiarkan pada: March 18, 2020 @ 7:36pm
d