mutakhir

Covid-19: 21 kes positif di Sabah

Oleh Yun Mikail

SEBANYAK 21 kes positif Covid-19 baharu direkodkan di Sabah setakat 5 petang hari ini berbanding 82 kes, semalam.

Jumlah berkenaan menjadikan keseluruhan kes positif wabak terbabit mencecah 103 kes di seluruh negeri itu ketika ini.

Hal ini menjadikan Sabah negeri ketiga tertinggi merekodkan kes positif Covid-19 selepas Selangor dan Kuala Lumpur.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung menerusi laman sosial Facebook menunjukkan daerah di Sabah mencatatkan rekod tertinggi kes positif Covid-19 adalah Tawau membabitkan 23 kes diikuti Lahad Datu (31 kes), Kota Kinabalu (13 kes), Kinabatangan (7 kes) dan Sandakan (6 kes).

“Selain itu, Sipitang, Beaufort serta Kunak masing-masing mencatatkan empat kes positif selain Kota Belud (3 kes), Putatan (2 kes) dan Papar (1 kes).

“Bagaimanapun, belum terdapat sebarang kematian berpunca daripada Covid-19 dicatatkan di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, jumlah keseluruhan Covid-19 di Malaysia setakat jam 12 tengah hari pada 18 Mac adalah sebanyak 790 kes dengan rekod sebanyak 117 kes baharu.

Daripada 117 kes itu, sebanyak 80 kes baharu membabitkan jemaah perhimpunan Tabligh. Sehingga kini, jumlah terkumpul kes tabligh yang positif Covid-19 adalah 513 kes.

Malaysia mencatat kes kematian pertama Covid-19 pada 17 Mac lalu dengan dua kematian membabitkan kes ke-178 di Johor dan kes ke-358 di Sarawak.

Disiarkan pada: March 18, 2020 @ 7:45pm
d