mutakhir

Mak saya darah rendah...bukan Covid-19

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

PANIK dengan penyebaran wabak Covid-19 membuatkan orang ramai menyangka seorang wanita yang pengsan mendadak di Pasar Awam Sungai Besar, Selangor, dijangkiti virus itu.

Bagaimanapun pemeriksaan kesihatan mendapati wanita terbabit sebaliknya pitam akibat mengalami tekanan darah rendah.

Difahamkan, kejadian itu tular di media sosial susulan gambar petugas kecemasan memakai topeng muka dan mengusung mangsa menggunakan alat pengusung sambil disaksikan orang awam.

Seorang pengguna Facebook yang mendakwa anak kepada wanita itu memaklumkan kejadian itu tidak ada kaitan dengan penularan wabak Covid-19.

"Emak saya bukan suspek Covid-19, sebaliknya pengsan disebabkan tekanan darah rendah dan kurang gula dalam badan," katanya menerusi komen di media sosial.

Menurutnya, mangsa sudah mendapatkan rawatan dan semakin pulih serta stabil.

"Terima kasih atas doa semua. Semoga kita semua dilindungi Allah SWT," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

"Kejadian membabitkan seorang wanita jatuh pengsan disebabkan tekanan darah rendah di pasar awam berkenaan. Kes tiada kaitan dengan Covid-19," katanya.

Disiarkan pada: March 18, 2020 @ 8:22pm
d