mutakhir

10,553 jemaah tabligh jalani pemeriksaan

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

SERAMAI 10,553 jemaah tabligh yang hadir perhimpunan ijtimak di Masjid Jamek Seri Petaling sudah menjalani pemeriksaan kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu diterima Kemeterian Kesihatan Malaysia (KKM) dari hospital seluruh negara setakat jam 12 tengah malam tadi.

Menurutnya, daripada jumlah itu juga, 4,986 sampel sudah diambil untuk dijalankan pemeriksaan lanjut.

“Setakat ini 513 individu positif daripada jumlah sampel yang diambil.

“KKM menyeru jemaah tabligh yang belum tampil supaya segera menjalani pemeriksaan kesihatan yang dijalankan KKM,” katanya hari ini.

Daripada infografik yang dikongsi Dr Noor Hisham, seramai 10,650 jemaah tabligh sudah dikesan dengan 2,559 daripada negatif Covid-19.

Selain itu, 659 jemaah kini masih menerima rawatan di hospital seluruh negara manakala 6,627 individu dikuarantin di rumah.

Berdasarkan siasatan KKM, seramai 16,000 peserta menyertai ijtimak tabligh antarabangsa yang berlangsung di masjid berkenaan dan daripada angka itu, 14,500 adalah rakyat Malaysia bermula 28 Februari hingga 1 Mac lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 19, 2020 @ 11:31am
    d