mutakhir

MBJB laksana dekontaminasi 23 masjid

Oleh Nurul Amanina Suhaini

MAJLIS Bandaraya Johor Bahru (MBJB) melaksanakan proses dekontaminasi di 23 masjid sekitar kawasan pentadbirannya sebagai langkah nyahkuman Covid-19 terutama yang menjadi lokasi tumpuan awam.

Pengarah Kesihatan MBJB, Dr Aslinda Salikin, berkata pelaksanaan membabitkan 75 anggota Jabatan Kesihatan dan Unit Tindakan Cepat (UTC) MBJB itu bagi menjalankan kerja disinfeksi di masjid terpilih sepanjang tempoh mulai 18 hingga 31 Mac ini.

Katanya, usaha itu bagaimanapun bergantung kepada jumlah peralatan perlindungan diri (PPE) sedia ada yang terhad, selain pada masa sama, pihaknya berharap masjid lain turut dapat mengambil langkah sendiri dalam melaksanakan kerja pembersihan secara sukarela di kawasan masing-masing.

“Kerja proses dekontaminasi sudah mula bergerak sejak semalam membabitkan lima masjid iaitu Masjid Sultan Abu Bakar, Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Masjid Kolam Ayer, selain Masjid Ungku Mohamad Skudai Kiri dan Masjid Jamek Taman Pelangi.

“Hari ini, proses dekontaminasi meliputi Masjid Tun Hussein Onn Larkin, Masjid India Dato Ahmad Awang Jalan Duke, Masjid Al-Makmur Taman Kobena, selain Surau Kuarters Bomba Kempas Permatang dan Masjid Bukit Chagar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program berkenaan yang turut dihadiri Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud, di Masjid Tun Hussein Onn di Larkin, hari ini.

Aslinda berkata, pihaknya menjalankan aktiviti itu di pusat ibadat iaitu masjid berikutan kluster sebaran daripada perhimpunan ijtimak (perjumpaan) tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur.

“Pihak masjid yang ingin melaksanakan langkah disinfeksi boleh dapatkan khidmat nasihat dari Pejabat Kesihatan Johor Bahru.

“Adalah diingatkan bahawa langkah ini hendaklah dilaksanakan dengan jumlah PPE yang lengkap dan teknik yang betul dalam memastikan semua langkah keselamatan diri diambil,” katanya.

Tambahnya, masyarakat diingatkan supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berkuatkuasa kini.

“Bersamalah kita berusaha mengekang penyebaran wabak COVID-19 ini dengan kekal berada di rumah masing-masing dan tidak mengadakan sebarang aktiviti luar rumah kecuali urusan seperti yang sudah diwartakan dalam Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 19, 2020 @ 12:46pm
    d