mutakhir

Leka tengok aplikasi... [METROTV]

Oleh Zuhainy Zulkiffli

GARA-GARA leka menggunakan aplikasi di telefon bimbit, pemandu e-hailing secara tidak sengaja merempuh sekatan jalan raya yang dijalankan anggota polis di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di Georgetown pada pagi hari ini.

Tindakan lelaki berusia 46 tahun itu menyebabkan kon yang diletakkan di atas jalan bertaburan manakala lampu amaran dan papan tanda sekatan jalan raya turut mengalami kerosakan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan selepas menerima aduan pada 8.18 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki terbabit menghala ke Bayan Lepas bagi mengambil penumpang.

“Sampai di lokasi, pemandu itu yang sedang mengendalikan aplikasi e-hailing di telefon bimbitnya tidak perasan terdapat sekatan jalan raya di hadapannya sebelum merempuh sekatan berkenaan.

“Tujuh anggota polis yang sedang melakukan sekatan itu tidak mengalami kecederaan dan hanya membabitkan kerosakan pada peralatan yang digunakan semasa sekatan,” katanya kepada media hari ini.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, siasatan mendapati kemalangan berkenaan berpunca daripada kecuaian lelaki itu yang mengaku menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

“Pemandu berkenaan mempunyai lesen yang sah dan tidak disyaki mabuk atau berada di bawah pengaruh dadah.

“Siasatan lanjut akan dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 ,” katanya lagi.

Disiarkan pada: March 19, 2020 @ 2:37pm
d