mutakhir

Tambah anggota operasi memadam

Oleh Mohd Rashidi Yusuf

OPERASI memadam kebakaran kawasan hutan Gunung Kenderong dan Kampung Pong di Jalan Gerik-Pengkalan Hulu dekat Gerik masuk hari keempat hari ini dengan pertambahan jumlah anggota kepada 127 orang berbanding 76 semalam.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Muhamad Yunus Abu berkata, seramai 99 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Pengkalan Hulu dan Lenggong, termasuk 10 dari Unit Udara terbabit dalam operasi itu.

Menurutnya, pihak lain yang terbabit pula ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan dua anggota, lapan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dua anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS) manakala Jabatan Perhutanan dengan 16 orang.

Katanya lagi, operasi hari ini dibahagikan kepada empat pasukan iaitu dua di Gunung Kenderong, Gerik dan dua di Kampung Pong, Klian Intan di Pengkalan Hulu

“Kebakaran merebak hingga ke kawasan melebihi 32.4 hektar sejak empat hari lalu dan terpaksa mendapatkan bantuan Unit Udara JBPM selain operasi di daratan.

“Seperti semalam, operasi memadam pada hari keempat ini bermula 8.15 pagi dengan melakukan ‘water bombing’ oleh Unit Udara JBPM di kawasan yang sukar untuk diakses dari daratan,” katanya.

Disiarkan pada: March 19, 2020 @ 2:40pm
d