mutakhir

Macam mimpi ngeri

Oleh Mahaizura Abd Malik

"BADAN saya sangat lemah, susah bernafas dan batuk kering sampai satu tahap air dalam perut terkeluar. Cuma kematian saja saya fikirkan.

"Ia macam mimpi ngeri bagi saya sebab itu saya berdoa supaya wabak ini lenyap terus supaya orang lain tidak melalui apa yang saya rasa," kata seorang pesakit Covid-19, Hamdan Hashmuddin.

Hamdan, 31, yang masih menjalani pengasingan dan rawatan di Hospital Rembau, Negeri Sembilan berkongsi pengalamannya sebagai pesakit Covid-19 selepas dijangkiti wabak itu daripada ibu bapanya.

Kata pemuda itu, kedua-dua orang tuanya disahkan positif Covid-19 selepas mereka menghadiri sebuah mesyuarat badan berkaitan kerajaan (GLC) di ibu negara, 24 Februari lalu yang dipercayai dihadiri individu yang dijangkiti wabak itu.

"Ibu bapa saya disahkan positif wabak itu selepas semua yang menghadiri mesyuarat berkenaan diarahkan membuat saringan di Hospital Sungai Buloh.

"Kami sekeluarga diminta untuk pengasingan sendiri di rumah sebelum saya dan adik beradik disaring pada 4 Mac lalu.

"Pada malam hari sama, suhu badan saya meningkat dan saya alami batuk sebelum mendapat panggilan saya positif wabak itu dan diarahkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban, 9 Mac lalu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, dia menjalani rawatan seperti pesakit Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) selepas mengalami simptom lengkap Covid-19.

"Selama di hospital, saya diasingkan dari dunia luar dan tidak dibenarkan menerima pelawat.

"Rutin harian seperti solat, makan minum semuanya dilakukan dalam bilik saja.

"Kalau saya rindu dengan adik beradik di rumah dan mak ayah yang dikuarantin di hospital, kami akan buat panggilan video," katanya.

Katanya, keadaan kesihatannya kini bertambah baik dan masih menunggu ujian selanjutnya untuk memastikannya bebas wabak berkenaan.

"Ketika saya mendengar ada kematian pesakit Covid-19 baru-baru ini, saya rasa sedih kerana saya fikir saya juga mungkin boleh alami perkara sama.

"Namun, saya positifkan diri dan yakin dengan kepakaran doktor kita dan alhamdulillah nampaknya rawatan berjalan dengan baik," katanya.

Dia yang turut menzahirkan penghargaan kepada barisan petugas perubatan yang merawat pesakit sepertinya, menasihati rakyat Malaysia sentiasa mempunyai kesedaran memerangi wabak ini.

"Saya hargai penat lelah kakitangan kesihatan bertungkus lumus kerja tinggalkan keluarga mereka demi merawat kami di hospital.

"Nasihat saya, rakyat Malaysia sentiasa berwaspada dan hadkan

pergerakan kerana kita tidak tahu dapat jangkitan dari mana.

"Paling penting, jangan takut lakukan saringan kerana doktor kita memang yang terbaik dan bersedia menghadapi situasi ini tetapi janganlah sampai biarkan gelombang lebih besar datang lagi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 19, 2020 @ 4:31pm
    d