mutakhir

Warga emas dikhuatiri dibaham buaya

Oleh Khalid Latip

SEORANG lelaki warga emas dilaporkan hilang dipercayai dibaham buaya ketika mengambil umbut nipah di Sungai Mekam Sare di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, kehilangan Lingai Rabong, 78, disedari penduduk kira-kira jam 9 pagi tadi.

Sebelum itu katanya, mangsa dilaporkan ke sungai berkenaan untuk mencari umbut pokok nipah.

“Bagaimanapun beberapa penduduk kampung ternampak seekor buaya mengheret mangsa ke tengah Sungai Mekam Sare dan bergegas memaklumkan kejadian itu kepada keluarganya.

“Laporan kehilangan mangsa dibuat di Balai Polis Jakar sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, penduduk turut menjumpai barangan yang dibawa mangsa di tepi sungai berkenaan.

“Bomba bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 12.20 tengah hari tadi.

“Operasi SAR dilakukan dan sehingga kini mangsa belum dijumpai,” katanya.

Disiarkan pada: March 19, 2020 @ 4:43pm
d