mutakhir

Syukur kerajaan bantu

Oleh Mohd Rafi Mamat

USAHA kerajaan Sabah membantu penuntut negeri itu yang masih tinggal di kolej kediaman institusi pengajian tinggi (IPT) di Semenanjung mendapat pujian pelbagai pihak.

Seramai 60 penuntut tajaan Yayasan Sabah yang sedang menyambung pengajian dalam pelbagai bidang di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) di Kuantan turut bersyukur dengan keputusan

Bagi Erna Ectoviana Muhiddin, 23, keprihatinan kerajaan negeri membantu penuntut di Semenanjung merupakan sesuatu yang terpuji terutama ketika negara berhadapan penularan wabak Covid-19.

Menurutnya, sebagai penuntut mereka hanya memerlukan keperluan asas termasuk makanan sepanjang dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan kerana tidak boleh keluar daripada kampus dan kebanyakan kedai ditutup.

“Saya mengucapkan terima kepada kerajaan yang sentiasa mengambil berat kebajikan penuntut Sabah yang belajar di Semenanjung, kebanyakan kami turut menerima tajaan Yayasan Sabah.

“Saya dan penuntut lain di KUIPSAS kini berada dalam keadaan selesa selepas mendapat bantuan makanan percuma disediakan pihak kolej, kebajikan kami sentiasa diberi keutamaan,” katanya hari ini.

Kelmarin, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk memberi bantuan keperluan asas dan makanan kepada semua penuntut Sabah di Semenanjung.

Erna yang belajar di semester tiga dalam jurusan Ijazah Dakwah Islamiyah berkata, walaupun tidak dapat pulang ke kampung dia tetap berpuas hati dengan semua kemudahan diterima.

Bagi Qhaliq Afiq Syahmi Kalid, 21, yang belajar di semester empat Diploma Bahasa Arab dan Tamadun Islam berkata, keprihatinan Ketua Menteri Sabah membantu penuntut Sabah di Semenanjung yang tidak pulang ke kampung adalah satu keputusan yang tepat.

“Selain mendapat tajaan melanjutkan pengajian banyak lagi kemudahan yang disediakan kerajaan negeri dan terbaru kemudahan asas dan makanan kepada kami yang tidak dapat pulang ke kampung kerana wabak Covid-19.

“Semangat untuk berjaya dalam pelajaran semakin bertambah apabila kerajaan negeri sentiasa mengambil perhatian terhadap kebajikan semua penuntut yang kini belajar di KUIPSAS,” katanya yang berasa dari Kunak.

Menurutnya, pegawai Yayasan Sabah ada menghubungi pelajar di situ untuk bertanya khabar dan perkembangan semasa terutama apabila wabak Covid-19 hingga menyebabkan kebanyakan penuntut Sabah tidak dapat pulang ke kampung.

Qhaliq Afiq berkata, dia bersyukur dengan kemudahan dan bantuan diberikan Yayasan Sabah termasuk KUIPSAS yang turut menyediakan makanan percuma tiga kali sehari.

Disiarkan pada: March 19, 2020 @ 5:10pm
d