mutakhir

Sidang DUN Terengganu disingkatkan

Oleh Baharom Bakar

SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu akan disingkatkan daripada empat hari kepada separuh hari pada Isnin ini.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Yahaya Ali berkata, persidangan hanya membabitkan 32 Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) dan tidak membabitkan ketua jabatan serta pemerhati.

Menurutnya, persidangan juga akan diadakan tanpa Istiadat Pembukaan oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Walaupun Sultan Mizan tidak berangkat tetapi baginda akan menghantar perutusan bertulis untuk diedarkan kepada semua Adun.

“Tiada sesi perbahasan walaupun dewan banyak menerima soalan lisan daripada Adun, ” katanya ketika sidang media khas di lobi pejabat DUN di Kuala Terengganu hari ini.

Mengulas lanjut, Yahaya menjelaskan, antara agenda persidangan DUN pada Isnin ini adalah doa serta ucapan alu-aluan Yang Dipertua Dewan dan diakhiri pengumuman penangguhan.

“Tindakan memendekkan persidangan DUN dibuat sebagai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan seperti diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

“Persidangan DUN separuh hari dibuat mengikut Peraturan 37 Undang-Undang Tubuh Kerajaan negeri,” katanya.

Yahaya menjelaskan, berdasarkan Perkara 16 (1) Peraturan dan Perintah DUN, Yang Dipertua mempunyai kuasa untuk menetapkan tertib pekerjaan dewan mengikut pertimbangannya.

Menurutnya, sepanjang persidangan DUN berlangsung, langkah pencegahan penularan wabak Covid-19 turut diberi keutamaan dan cecair pencuci tangan serta topeng penutup muka disediakan kepada semua Adun.

Disiarkan pada: March 19, 2020 @ 5:28pm
d