mutakhir

Kasihan mak dipukul anak

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

HANYA kerana menegur anak perempuannya yang sering keluar malam menyebabkan seorang wanita dipukul sehingga berdarah di kepala di kediaman mereka di Taman Sri Gombak, Kuala Lumpur, semalam.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari, mangsa berusia 62 tahun pada mulanya bertengkar dengan anaknya yang berusia 30 tahun selepas menegur sikapnya yang selalu keluar rumah pada waktu malam dan balik lewat.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, selepas itu, anaknya bertindak memukul wanita terbabit dengan sebuah objek yang digenggam di tangan kanan sehingga kepala mangsa berdarah.

Menurutnya, mangsa kemudian keluar dari rumah dan meminta bantuan jiran.

“Jirannya menghubungi polis yang tiba tidak lama kemudian dan membawanya ke balai polis untuk membuat laporan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Arifai berkata, mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan dan polis sedang mengesan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: March 19, 2020 @ 6:09pm
d