mutakhir

Kakitangan HTF positif Covid-19

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan bahawa terdapat satu kakitangan Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, beliau mempunyai sejarah perjalanan ke Turki dan tiba di tanah air, 8 Mac lalu.

Menurutnya, beliau dimasukkan ke wad pada 16 Mac, disyaki jangkitan paru-paru (pneumonia) dan dehidrasi. Ujian makmal di Hospital Sultanah Bahiyah mendapati beliau positif Covid-19, semalam.

“Berikutan dengan itu, pihak hospital telah mengenal pasti kontak dekat dan menjalankan saringan Covid-19 terhadap mereka serta ahli keluarga terdekat pegawai. Pembersihan dan pembasmian kuman di kawasan berkaitan juga telah dilakukan.

“Bagi memastikan perkhidmatan kepada orang ramai tidak terjejas, HTF telah mengambil beberapa langkah-langkah mitigasi, misalnya menyemak semula jadual klinik susulan, mengemaskini prosedur kemasukan wad dengan memberi keutamaan kepada kes-kes yang perlukan rawatan segeradan beberapa langkah lain,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kerjasama dengan klinik kesihatan dan hospital lain yang berdekatan juga telah dikenal pasti bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan tidak terjejas.

“Semua pesakit dan orang awam tidak perlu bimbang terhadap keselamatan mereka kerana pihak HTF telah mengambil langkah- langkah pencegahan penyakit berjangkit dan kawalan jangkitan yang perlu.

“Masyarakat juga disarankan mengikuti arahan dan nasihat pihak pengurusan hospital dan Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 19, 2020 @ 7:36pm
    d