mutakhir

5 pegawai, anggota polis cedera dirempuh

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

LIMA pegawai dan anggota polis trafik cedera selepas dirempuh lori di Jalan Syed Putra menghala ibu negara, malam tadi.

Difahamkan dalam kejadian pada 12.45 tengah malam itu, pasukan berkenaan sedang bersiap untuk sekatan jalan raya di kawasan terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, lori jenis Mitsubishi Fuso tiba-tiba melanggar kenderaan pasukan iaitu Proton Waja dan motosikal Yamaha Lagenda yang diletakkan di bahu jalan.

“Lori terbabit dipandu lelaki tempatan berusia 45 tahun dan pelanggaran itu menyebabkan seorang pegawai dan empat anggota cedera di seluruh badan.

“Siasatan mendapati lori berkenaan hilang kawalan ketika berada di lorong kiri dan melanggar kenderaan dan pasukan yang melakukan persiapan untuk sekatan jalan raya,” katanya.

Zulkefly berkata, semua mangsa cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan stabil, manakala pemandu lori tidak cedera.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

Disiarkan pada: March 20, 2020 @ 10:45am
d