mutakhir

Penduduk rumah panjang bimbang tanah runtuh

Oleh Mohd Roji Kawi

PENDUDUK di dua rumah panjang di Kanowit dan Betong, Kuching dilanda kebimbangan berikutan kejadian tanah runtuh yang menjejaskan kediaman mereka akibat hujan lebat semalam.

Di Kanowit, 200 penduduk Rumah Panjang Anyong Unjan, Nanga Ngungun, dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh yang menyebabkan tiga unit kediaman di rumah panjang 33 pintu itu terjejas.

Seorang penduduk, James Usak berkata, kejadian itu berlaku 8 malam tadi ketika kebanyakan penghuni berada di rumah masing-masing.

“Tanah runtuh itu menyebabkan bahagian dapur tiga rumah terbabit rosak teruk dan mujur ketika itu tiada sesiapa berada di dapur.

“Penduduk yang bimbang runtuhan susulan berlaku menghubungi talian kecemasan memaklumkan kejadian itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 9.15 malam tadi.

Beliau berkata, tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit dikejarkan ke lokasi yang terletak hampir 40 kilometer dari pekan Kanowit.

“Setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati berlaku tanah runtuh di belakang dapur dan bilik mandi di tiga rumah iaitu rumah kedua, tiga dan empat dalam dereten 33 pintu rumah panjang itu.

“Bomba memasang sawar-sawar (pengadang) di kawasan runtuhan berkenaan supaya tidak didekati oleh penduduk,” katanya.

Berikutan hujan berterusan, pasukan bomba menasihatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada serta berpindah ke rumah panjang berdekatan sekiranya keadaan semakin tidak selamat.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Betong, penduduk Rumah Panjang Bantan di Sungai Langit, Ulu Layar, cemas apabila berlaku tanah runtuh di hadapan kediaman mereka.

Kejadian dipercayai berlaku awal pagi tadi menyebabkan sebuah setor menggelongsor ke dalam gaung.

Dua anggota dari BBP Betong dikerah ke lokasi untuk membuat pemeriksaan selepas menerima panggilan pada 8.20 pagi tadi.

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian itu, namun penduduk diarah berjaga-jaga kerana dikhuatiri berlaku runtuhan susulan.

Disiarkan pada: March 20, 2020 @ 12:13pm
d