mutakhir

Kaunter ubat pandu lalu jadi alternatif

Oleh Ahmad Ismail

KEWUJUDAN dua kaunter pengambilan ubat secara pandu lalu dikenali sebagai ‘Locker For You’ antara alternatif terbaik diakses sewaktu penularan wabak Covid-19.

Pengarah Hospital Segamat Azhar Mohd.Sali berkata, berada dalam kenderaan mengasingkan diri dari kelompok orang ramai ketika ambil ubatan di kaunter pandu lalu secara tidak langsung membantu mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19.

“Pada masa yang sama, ia turut membantu menjimatkan masa ketika berurusan kerana menerusi kaunter pandu lalu akan dapat selesai tidak sampai lima minit,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Segamat hari ini.

Menurutnya, kaunter ubat pandu lalu itu terletak di lokasi klinik kesihatan di Jalan Segamat ke Jementah, sebuah lagi di lokasi parkir kenderaan kawasan Hospital Segamat.

“Ia diwujudkan kira-kira empat tahun lalu bagi mengatasi kesesakan di kaunter ubat hospital dan terbukti berhasil memudahkan orang ramai.

“Kaunter pandu lalu itu mampu mengurangkan kapasiti orang ramai di kaunter ruang menunggu di farmasi hospital,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mahu mengambil ubat menerusi kaunter pandu lalu berkenaan hanya perlu menunjukkan deskripsi sah dikeluarkan mana-mana doktor di hospital.

Disiarkan pada: March 20, 2020 @ 12:37pm
d