mutakhir

Polis iring lelaki tabligh ke hospital [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

LELAKI dipercayai terbabit dengan kumpulan tabligh yang menyertai perhimpunan di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur bulan lalu dibawa menjalani rawatan ke Hospital Lama Alor Setar hari ini.

Lelaki berusia lingkungan 30-an itu dikatakan tidak pernah menjalani pemeriksaan di mana-mana hospital atau klinik kerajaan selepas pulang dari perhimpunan itu.

Difahamkan, lelaki itu dikatakan tinggal seorang di rumahnya selepas pulang dari Kuala Lumpur sejak 1 Mac lalu tetapi dikatakan ada menunaikan solat dan majlis bacaan Yasin di masjid di sekitar bandar raya ini.

Berikutan itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar tiba di rumah lelaki itu di Jalan Tanjung Bendahara selepas menerima maklumat berhubung kes itu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin turut menyertai pemeriksaan di rumah lelaki berkenaan pada 10.30 pagi hari ini.

Ketika itu, lelaki terbabit ada di rumah dan memberi kerjasama selepas diarah membuka pintu oleh pasukan polis.

Lelaki itu pada mulanya mendakwa pernah menjalani rawatan di hospital tetapi gagal menunjukkan sebarang dokumen atau surat doktor.

Berikutan itu, lelaki berkenaan menunggang motosikal diiringi dua kenderaan polis menuju ke hospital.

Turut serta di lokasi, dua pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara itu, Mohd Rozi berkata, pihaknya sedang mengesan mereka yang terbabit dalam kumpulan tabligh di daerah ini dan meminta mereka menjalani pemeriksaan untuk mengelak dari penularan wabak Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 20, 2020 @ 2:31pm
    d