mutakhir

Rumah ibadat usah abai aspek keselamatan

Oleh Ahmad Ismail.

Segamat: Polis menasihatkan pengurusan rumah ibadat di daerah ini tidak mengabaikan aspek keselamatan premis sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, pengurusan dinasihatkan menyimpan wang dari tabung sumbangan orang ramai ke dalam bank bagi mengelak menjadi sasaran penjenayah.

Katanya, sepanjang tempoh 14 hari Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan bagi membendung penularan wabak Convid-19 itu, premis ibadat menjadi sepi kerana semua aktiviti ditangguhkan

“Meskipun polis melakukan rutin rondaan 24 jam di lokasi rumah ibadat, namun pihak pengurusan juga disarankan meningkatkan aspek keselamatan seperti memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan mengaktifkan alat pengera keselamatan.

“Tindakan memaparkan jumlah kutipan tabung sumbangan di papan kenyataan juga harus dihentikan kerana ia mengundang perhatian penjenayah,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Raub berkata, rumah ibadat juga dinasihatkan memasang lampu pada waktu malam terutama di sudut yang terlindung daripada pandangan umum.

“Walaupun tiada kes jenayah berlaku dilaporkan oleh pihak pengurusan rumah ibadat sejak Perintah Kawalan Pergerakan dijalankan, namun langkah pencegahan perlu diberi perhatian,” katanya.

Disiarkan pada: March 20, 2020 @ 4:41pm
d