mutakhir

Kebakaran di Gunung Kenderong masih ada

Oleh Mohd Rashidi Yusuf

DUA puluh peratus daripada 40.5 hektar kawasan kebakaran hutan di Gunung Kenderong di Gerik berjaya dipadam, semalam.

Selain itu, pihak bomba juga berjaya melakukan pemadaman sebanyak dua daripada 12 hektar kebakaran di Kampung Pong, Gerik.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Muhamad Yunus Abu berkata, seramai 108 anggota bomba terbabit dalam operasi pemadaman pada hari kelima di kedua-dua lokasi itu, hari ini.

Menurutnya, pihaknya menghantar 93 anggota bomba untuk memadam kebakaran di Gunung Kenderong melalui Kampung Tanjong Kekabu.

Katanya, seramai 10 anggota diketuai Penolong Pegawai JBPM Perak, Farizul Anuar Razali dihantar untuk memadam kebakaran di Kampung Pong.

“Operasi memadam kebakaran bermula Isnin lalu turut menggunakan khidmat Unit Udara JBPM khususnya pemadaman di Gunung Kenderong.

“Dengan kombinasi unit udara dan darat, kebakaran di Gunung Kenderong berjaya dikawal daripada merebak ke Gunung Kerunai yang terletak bersebelahan,” katanya.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Gerik, Superitendan Ismail Che Isa.

Disiarkan pada: March 20, 2020 @ 7:42pm
d