mutakhir

Covid-19: 'Lunch box' untuk petugas hospital [METROTV]

Oleh Mahaizura Abd Malik

“BUKAN menunjuk jauh sekali mencari publisiti, niat saya cuma mahu berkongsi rezeki kerana amat memahami kesulitan mereka sukar mendapatkan makanan sedap dan berkhasiat dalam situasi kerja yang tidak menentu ini.

“Mungkin apa yang saya buat ini tidak setanding dengan pengorbanan yang mereka lakukan untuk negara kita, tetapi saya rasa puas lebih-lebih lagi bila tengok mereka makan dengan berselera,” kata Haslinda Rahman, 42.

Haslinda bersama suaminya, Agus Sany Ahmad, 43, yang juga seorang cef melakukan inisiatif menyediakan makanan tengah hari untuk diedarkan kepada kakitangan perubatan dan kesihatan yang bertungkus-lumus dalam memerangi wabak koronavirus baharu (Covid-19) ketika ini.

Katanya, mereka memulakan inisiatif itu sejak Selasa lalu dengan mengedarkan makanan kepada kakitangan Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Canselor Tuanku Mukhriz.

“Saya kasihan melihat petugas kesihatan kita, terutama yang kerja di makmal bertungkus lumus kerja siang malam, sampai ada yang tak sempat makan.

“Kadangkala, petugas kita cuma sempat makan ala kadar dan kurang berkhasiat menyebabkan mereka tak lalu hendak makan.

“Itu yang membuatkan saya dan suami ambil inisiatif ini dengan permulaannya kami cuma mampu menyediakan 20 bungkus sebelum meningkat kepada 300 bungkus sehari selepas ramai kenalan yang menyokong usaha kami turut menyalurkan sumbangan untuk projek ini, ” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, setiap hari mereka bangun seawal 4 pagi untuk membeli bahan mentah di pasar sebelum masak dan membungkus makanan itu untuk diedarkan, tengah hari.

“Saya dan suami masak sendiri dengan dibantu dua pekerja kami.

“Setiap hari, kami akan pastikan juadah yang dimasak ringkas tidak berkuah tetapi enak dan seimbang untuk memudahkan petugas makan meskipun dalam keadaan mereka sibuk,” katanya.

Haslinda berkata, inisiatif dilakukan itu turut membuka minat Lembaga Zakat Selangor bekerjasama dengan mereka bagi mengedarkan makanan tengah hari untuk hospital di dua daerah di Selangor.

“Sejak beberapa hari ini, saya menerima jumlah panggilan ramai rupanya memang ramai petugas hospital yang mahukan makanan seperti ini dihantar ke tempat kerja mereka tetapi dana yang kami terima sangat terhad.

“Saya berharap inisiatif ini disokong rakyat Malaysia lain kerana saya jangkakan permintaan makanan tengah hari ini semakin meningkat di hospital memerlukan sepanjang krisis Covid-19 ini.

“Jika boleh memang kami mahu usaha ini berterusan sehingga keadaan negara kembali pulih daripada krisis ini, tapi kami cuma mampu menyediakan 300 bungkus sehari sehingga 26 Mac ini saja,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 20, 2020 @ 11:03pm
    d