mutakhir

Kantoi jual 'heroin' di tepi jalan

Oleh Hamzah Osman

TINDAKAN pengedar dadah cuba mengedar heroin di tepi jalan ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan mengundang padah apabila ditahan polis di Jalan Kuala Muda, Mukim Padang Matsirat di Langkawi, semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek berusia 34 tahun ditahan sepasukan anggota polis dari Balai Polis Kuala Teriang, 12.50 tengah malam, semalam.

“Terdahulu, anggota polis yang membuat rondaan mengesan suspek berada dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah kedai serbaneka 24 jam.

“Menyedari kehadiran polis, suspek cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, pemeriksaan pada badan suspek menemui 21 keratan penyedut minuman mengandungi bahan terlarang disyaki heroin seberat 4.88 gram.

“Selain dadah, polis turut merampas masing-masing satu seluar dan bekas bertutup kecil untuk siasatan lanjut.

“Suspek ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: March 21, 2020 @ 12:14am
d