mutakhir

Kesal rakyat ingkar Perintah Kawalan Pergerakan

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan rasa kesal apabila mendapati masih terdapat rakyat melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tanpa sebarang alasan kukuh.

Baginda bertitah, rakyat Perlis perlu mematuhi perintah kawalan berkenaan dan membuang sifat degil serta ambil mudah kerana tindakan sedemikian bakal memberikan kesan buruk kepada masyarakat.

“Kita tidak mahu kegagalan tempoh dua minggu ini mengakibatkan PKP dilanjutkan. Malah lebih buruk sekiranya Perintah Berkurung terpaksa diambil kerajaan kelak.

“Sesudah tiga hari pelaksanaan PKP, masih terdapat segelintir rakyat yang bukan sahaja mengambil mudah, bahkan ada yang melakukan tindakan seolah-olah menidakkan kepentingan pelaksanaannya,” titah baginda dalam kenyataan di Kangar, hari ini.

Baginda bertitah, situasi semasa di Perlis begitu membimbangkan apabila negeri ini mencatatkan sembilan kes Covid-19 setakat ini.

“Perkara ini harus diberi perhatian serius, polis sudah melakukan yang terbaik dalam memastikan PKP dipatuhi dan usaha mereka sewajarnya dihargai semua pihak.

“Tambah dukacita akibat kedegilan antara kita menyebabkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terpaksa diatur gerak, sedangkan mereka sepatutnya berada dalam keadaan siap siaga bagi menjaga kedaulatan dan keselamatan negara,” titah baginda.

Menurut baginda, sewajarnya rakyat memahami keperluan pelaksanaan perintah kawalan supaya keadaan pulih dan bebas dari penularan wabak Covid-19 secepat mungkin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 21, 2020 @ 10:39am
    d