mutakhir

Rakyat Malaysia dari Iran dijangka tiba esok [METROTV]

Oleh Suraya Roslan

SERAMAI 1,650 rakyat Malaysia di tiga negara terjejas akibat Covid-19 iaitu Iran, Itali dan India akan dibawa pulang secara berperingkat, bermula esok.

Timbalan Menteri Luar merangkap Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas hasil usaha sama antara Menteri Luar dengan rakan sejawatnya daripada tiga negara berkenaan.

“Bagi urusan repatriasi dari Iran membabitkan 55 orang iaitu 46 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tehran manakala selebihnya rakyat Singapura dan seorang Indonesia.

“Kesemua mereka dijangka tiba di Kuala Lumpur, 6.10 pagi esok menaiki pesawat sewaan khas Air Asia yang kini sudah berlepas ke Tehran pada 11.45 pagi tadi.

“Pesawat berkenaan membawa 15 kru penerbangan serta lapan petugas iaitu lima daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dua petugas Wisma Putra dan seorang petugas Agensi Pengurusan Bencana Negara,” katanya dalam sidang media khas menerusi Facebook Live agensi itu hari ini yang turut disertai Menteri Sumber Manusia yang juga Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.

Menurutnya, bagi urusan repatriasi dari Itali pula berlaku sedikit perubahan untuk membawa pulang 82 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Rom.

“Kesemua mereka sepatutnya tiba di Kuala Lumpur pada Isnin jam 6.10 pagi. Bagaimanapun Wisma Putra dimaklumkan Kedutaan Malaysia di Itali, Pihak Berkuasa Penerbangan Itali (ENAC) membatalkan kebenaran mendarat semua pesawat termasuk pesawat sewaan khas yang sepatutnya membawa pulang rakyat Malaysia.

“Buat masa ini, Wisma Putra sedang bertungkus-lumus termasuk berunding dengan kerajaan Itali bagi memberi kebenaran khas untuk kita meneruskan urusan repatriasi secepat mungkin, “katanya.

Menurutnya, Wisma Putra sedang berusaha menyelaras serta memudah cara urusan pulang rakyat Malaysia berjumlah 1,519 orang yang masih terkandas di India.

“Usaha ini termasuk merancang menghantar pesawat sewaan khas ke Mumbai, Chennai dan Tiruchirappalli (Trichy).

“Hasil perbincangan Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan sahabat baiknya yang juga Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran, dijangkakan 1,116 rakyat Malaysia yang terkandas di India akan dapat dibawa pulang ke tanah air dalam waktu terdekat.

“Kepulangan mereka menerusi enam pesawat Air Asia jenis A320 yang disewa khas melalui Chennai dan Trichy dan kos sewaan penerbangan ini berjumlah RM1.05 juta akan dibiayai sepenuhnya oleh MIC,” katanya.

Katanya, Wisma Putra dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Malaysia Airports Berhad sedang giat berusaha menyelaraskan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Chennai dan Mumbai.

“Saya ingin menegaskan, dengan mematuhi prosedur yang ditetapkan KKM, semua yang dibawa pulang akan dikuarantin selama 14 hari di Institut Latihan Awam yang telah dikenal pasti,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 21, 2020 @ 2:12pm
    d