mutakhir

Kru KD Mahawangsa hanya PUI Covid-19

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan seorang kru Kapal Diraja (KD) Mahawangsa disyaki dijangkiti wabak Covid-19.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat dalam kenyataan, hari ini, berkata anggota berkenaan dipercayai dijangkiti melalui isterinya yang mempunyai kontak rapat dengan rakan sekerja yang juga disyaki menghidapi virus itu.

Menurutnya, ketika ini seluruh keluarga anggota itu diklasifikasikan sebagai Person Under Investigation (PUI) dan sedang menjalani kuarantin seperti digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“TLDM turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan melaksanakan kuarantin kepada warga KD Mahawangsa selepas maklumat mengenai tanda atau jangkitan Covid-19 diterima.

“Tindakan sama sudah dilaksanakan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diisytiharkan dan prosedur ini juga dilaksanakan kepada kru KD LEKIU yang tamat penugasan mengiringi kapal Petronas Floating Liquified Natural Gas 2 (PFLNG 2) dari Korea Selatan pada 4 Mac lalu,” katanya.

Katanya, sehingga kini tiada anggota TLDM yang disahkan positif Covid-19.

“TLDM masih melaksanakan tugas dan tanggungjawab seperti biasa serta tidak terjejas dengan penularan Covid-19.

“Masyarakat dinasihatkan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan perlu mematuhi arahan PKP yang dikeluarkan oleh kerajaan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 21, 2020 @ 3:40pm
    d