mutakhir

Khidmat feri ke Pulau Redang ditangguhkan

Oleh Baharom Bakar

SYARIKAT Sejahtera Ferry Services Sdn Bhd mengumumkan penangguhan perkhidmatan feri dari Kuala Terengganu ke Pulau Redang, berkuat kuasa hari ini.

Penangguhan perkhidmatan menghantar dan mengambil pelancong yang menginap di beberapa chalet di pulau peranginan itu dilakukan bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penolong Pengurus Operasinya Suzana Mohamad berkata, seramai 18 individu yang juga pelancong terakhir dibawa keluar dari Pulau Redang, pagi hari ini.

Katanya, operasi membawa keluar pelancong dari dalam dan luar negara bermula sejak Rabu lalu.

“Sejak PKP mula dilaksana, tiada pelancong dibenarkan ke pulau berkenaan berikutan arahan penutupan semua pulau di negeri ini,

“Ketika ini, operasi kita adalah membawa keluar semua pelancong dari pulau peranginan berkenaan,” katanya ketika ditemui di Pulau Kambing, Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, enam feri syarikat itu ditempatkan di jeti di Pulau Kambing untuk memudahkan kerja pembersihan dilakukan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Terengganu, Ariffin Deraman berkata, mesyuarat Exco pada Rabu lalu memutuskan semua pulau pelancongan di negeri ini ditutup.

Katanya, penutupan semua pulau pelancongan di negeri ini diputuskan selepas kerajaan mengumumkan PKP dikuat kuasakan mulai Rabu lalu sehingga 31 Mac ini.

Disiarkan pada: March 21, 2020 @ 5:04pm
d