mutakhir

Jemaah tabligh yang belum 'disaring', tampillah...

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

JANGKITAN koronavirus baharu (Covid-19) di negara ini dijangka meningkat dalam tempoh dua minggu berikutan masih ada jemaah perhimpunan tabligh yang dikategorikan kluster jangkitan belum mendapatkan ujian saringan wabak itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, lebih 50 peratus kes positif jangkitan Covid-19 yang direkodkan dalam negara ketika ini adalah daripada kluster berkenaan.

“Mereka yang menyertai perhimpunan tabligh kembali ke negeri masing-masing dari Perlis sehingga ke Sabah. Bukan saja negeri, malah daerah pun terbabit.

“Sebab itu, kita (Kementerian Kesihatan) meminta jemaah tabligh tampil melaksanakan ujian saringan.

“Jika ada yang positif dan masih dalam komuniti akan menjangkiti orang lain dan ini yang kita bimbangkan,” katanya pada sidang media hari ini.

Noor Hisham berkata, pihaknya turut bekerjasama rapat dengan Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) bagi mengenal pasti kemungkinan ada golongan terbabit menyertai perhimpunan berkenaan.

Katanya, Kementerian Kesihatan turut serta dalam menjalankan aktiviti untuk menyalurkan maklumat mengenai jangkitan Covid-19 kepada golongan pelarian dan memberikan penerangan mengenai kepentingan mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala walaupun tidak menyertai perhimpunan itu.

“Ini mengambil kira mereka tinggal dalam komuniti yang kecil dan sentiasa berinteraksi rapat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya memerlukan kira-kira 500 lagi ventilator bagi menampung kegunaan pesakit Covid-19 di 26 hospital seluruh negara.

Katanya, pihaknya kini sedang berurusan dengan negara China untuk menambah kapasiti peralatan berkenaan.

“Jika kes bertambah maka kita perlu bersiap siaga dengan ventilator. Ketika ini kita mempunyai kira-kira 900 ventilator yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 21, 2020 @ 5:51pm
    d