mutakhir

Staf positif Covid-19, UTM jalankan disinfeksi

Oleh BERNAMA

UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor Bahru melakukan kerja pembersihan dan disinfeksi selepas seorang stafnya disahkan positif koronavirus baharu (Covid-19).

Pejabat Hal Ehwal Korporat UTM, menerusi kenyataan di laman sesawang universiti itu, memaklumkan bahawa kerja pembersihan dan disinfeksi akan dijalankan mengikut rekod pergerakan sebaik pengesanan kontak diperoleh Bilik Gerakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Johor Bahru.

“Seorang staf UTM Johro bahru disahkan positif ujian Covid-19 daripada kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur.

“Beliau (staff terbabit) sedang dirawat di Hospital Permai, Johor Bahru,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, UTM menasihati seluruh warganya untuk kekal tenang dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

Menurut kenyataan itu, warga UTM juga tidak dibenarkan menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan penularan wabak Covid-19 demi menjaga keharmonian umum.

Semua staf dan penuntut universiti itu juga diminta sentiasa mematuhi langkah pencegahan bagi mengelak penularan wabak Covid-19 seperti yang digariskan KKM dan UTM.

“Sekali lagi adalah ditegaskan staf dan pelajar yang menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling segera membuat saringan.

“Bagi mereka yang telah membuat saringan di mana-mana fasiliti kesihatan di luar juga perlu melaporkan kepada Pusat Kesihatan Universiti (PKU) bagi tujuan rekod,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut bahawa seluruh warga UTM boleh mendapat segala maklumat terkini berkaitan perkembangan Covid-19 di Facebook Komuniti UTM, laman sesawang rasmi Covid-19 UTM: https://www.utm.my/covid19/ atau melalui hotline UTMJB di 010-800 1337, 011-3334 0646 dan UTMKL 016-7962100.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 21, 2020 @ 9:23pm
    d