mutakhir

1 maut, 2 kereta bertembung

Oleh Nurul Amanina Suhaini

SEORANG wanita maut dalam kemalangan selepas dua kenderaan bertembung di Kilometer 12 Jalan Endau-Mersing di Mersing petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang, Pemandu kereta Perodua Myvi, Nurul Qurratu’ Aini Abd Razak, 31, maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing menerima maklumat kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan Perodua Myvi.

Katanya, MPV yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun bersama dua anaknya berusia sembilan dan 15 tahun dalam perjalanan dari Kelantan menuju ke Johor Bahru.

“MPV itu kemudiannya bertembung dengan Perodua Myvi yang dinaiki dua penumpang bersama pemandu kereta berkenaan yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat daripada kemalangan itu, pemandu kereta Perodua Myvi yang juga wanita tempatan berusia 31 tahun berasal dari Pulau Tioman, Pahang, parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kesemua mangsa lain yang cedera dibawa ke Hospital Mersing untuk rawatan selanjutnya, selain mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Mersing bagi proses bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menerima panggilan kecemasan 3.30 petang sebelum menggerakkan sebuah jentera dan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing bersama 10 anggota ke lokasi kejadian.

Komander Operasi dari BBP Mersing, Pegawai Bomba Kanan II Amir Hazmah Aris, berkata seorang mangsa tersepit di dalam kereta jenis Perodua Myvi dan disahkan meninggal dunia.

Katanya, tiga mangsa cedera dan seorang mangsa selamat di dalam kereta jenis Toyota Estima, selain kesemua mangsa dihantar ke Hospital Mersing untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya 4.01 petang.

Disiarkan pada: March 21, 2020 @ 10:40pm
d