mutakhir

Hanya latihan PDRM [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

SATU klip video menunjukkan sepasukan anggota polis menangkap seorang lelaki yang disyaki positif koronavirus baharu (Covid-19) menggunakan pistol perenjat elektrik (taser gun) yang tular di media sosial semalam hanyalah latihan dibuat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Video berdurasi satu minit 12 saat itu, menunjukkan situasi di mana sepasukan anggota polis lengkap berpakaian peralatan perlindungan diri (PPE) cuba menangkap seorang lelaki yang enggan memberi kerjasama dan berkelakuan agresif.

Malah anggota polis terpaksa menggunakan pistol perenjat elektrik menyebabkan lelaki itu tumbang sebelum digari dan dipakaikan dengan ‘gas mask’.

PDRM menerusi akaun Twitter rasmi mereka menjelaskan klip video berkenaan adalah latihan semata-mata.

“Video ini sebahagian latihan yang dibuat oleh PDRM dalam menangani sebarang bentuk ancaman.

“Masyarakat dinasihatkan tidak membuat sebarang info tular palsu berkenaan video itu,” katanya.

Difahamkan klip video berkenaan adalah sesi latihan dalam perkhidmatan dijalankan Unit Pemusnah Bom (UPB) PDRM yang dijalankan di ibu negara, baru-baru ini untuk menangani suspek yang mempunyai ancaman biologi.

Disiarkan pada: March 22, 2020 @ 2:07pm
d