mutakhir

Jakim tubuh pasukan khas urus jenazah

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menubuhkan pasukan khas pengurusan jenazah sebagai langkah siap siaga berikutan peningkatan jumlah kematian koronavirus baharu (Covid-19).

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Jakim, Hakimah Mohd Yusoff berkata, pasukan ditubuhkan sejak wabak ini melanda negara diberi taklimat dan penerangan mengenai kaedah pengurusan jenazah secara khas.

Menurutnya, ia berpandukan pandangan hukum diputuskan oleh Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Mac lalu.

“Pengurusan jenazah mangsa Covid-19 mengguna pakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali ke-107 mengenai Hukum Pengurusan Jenazah Orang Islam yang disyaki atau disahkan dijangkiti Virus Ebola (Ebola Virus Diseases: EVD) di Malaysia.

“Pandangan ini telah mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, seramai 18 petugas khas pengurusan jenazah sudah diarah bersiap sedia terdiri daripada pegawai dari Jakim, masjid utama di bawah Jakim dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) terdiri daripada 12 lelaki dan lima perempuan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 22, 2020 @ 4:59pm
    d