mutakhir

Jangan buat lelongan di pasar awam

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

PENIAGA pasar awam di Manjung tidak dibenarkan membuat jualan lelong untuk menarik pelanggan bagi mengelakkan orang ramai bersesak-sesak dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, tempoh masa diberi untuk berurus niaga adalah 15 minit dan hanya 30 pembeli saja dibenarkan melakukan urusan pada satu-satu masa.

Menurutnya, hanya satu laluan masuk dan keluar dibuka di setiap pasar awam dengan hanya seorang wakil keluarga dibenarkan masuk untuk mendapatkan barangan keperluan harian.

“Pelanggan juga tidak dibenarkan mengerumuni meja jualan dan perlu menyegerakan urusan pembelian dengan memakai penutup hidung dan mulut selain memastikan berada dalam jarak selamat.

“Hanya dua peniaga saja yang dibenarkan di setiap meja dan mereka dilarang membuat jualan lelong bagi menarik pelanggan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Syamsul Hazeman berkata, semua pihak diingatkan mematuhi arahan itu bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan penguat kuasaan.

Katanya, pihaknya juga mengambil inisiatif dengan melakukan pemeriksaan suhu badan pelanggan sebelum memasuki Pasar Awam Seri Manjung, hari ini.

“Kita cuba mengehadkan bilangan pengunjung (namun dalam masa sama) kita juga cuba beri ruang kepada semua untuk mendapatkan barangan keperluan harian di pasar,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 22, 2020 @ 5:08pm
    d