mutakhir

Covid-19 ujian buat semua

Oleh Nurul Amanina Suhaini

MASYARAKAT dinasihatkan jangan ambil mudah penularan wabak Covid-19, namun pada masa sama menekankan kepentingan untuk percaya kepada qada dan qadar.

Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Dr Noh Gadot berkata, sebagaimana dalam Rukun Iman, ada hikmah dalam setiap dugaan namun manusia tidak mengetahuinya, selain perlu motivasi diri dengan apa yang berlaku.

“Bagi yang terkena penyakit ini, ditakdirkan sudah sampai ajal, maka dalam hadis Al-Bukhari ada menyebutnya bahawa kematian disebabkan wabak itu adalah seperti pahala mati syahid bagi umat Islam.

“Bagi yang dalam saringan dan menunggu keputusan, mereka sebenarnya dapat pahala orang yang bertawakal kepada Allah, sesungguhnya Allah sayang, cinta serta kasih kepada orang bertawakal mahupun yang berusaha untuk mengubatinya (wabak).

“Bagi yang duduk di rumah, ikut arahan kerajaan maka dia juga dapat pahala sabar. Ini ditegaskan Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 157 bahawa orang bersabar, Allah sediakan limpahan kebaikan rahmat dan petunjuk kepadanya,” katanya ketika ditemui di Johor Bahru, hari ini.

Noh berkata, budaya akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, perlu menjadi pegangan orang Islam dan semuanya mesti berlaku usaha dan ikhtiar.

“Bagi wira-wira yang tidak didendangkan iaitu mereka di barisan hadapan seperti doktor, jururawat dan lain-lain yang ibarat lilin membakar diri untuk kebaikan dan menerangkan orang lain, Allah akan membalas kebaikan anda,” katanya.

Menurut Noh, ruhsah adalah kaedah melaksanakan hukum syariat yang bermaksud satu keringanan, kemudahan, kelonggaran, pengecualian atau keharusan yang disyariatkan Allah ke atas muka alam seperti meninggalkan solat jumaat kerana ada sebab.

“Ini juga adalah peluang di rumah kita melaungkan azan, solat lima waktu secara berjemaah dengan anak-anak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Ini satu kesempatan. Duduk di rumah, solat di rumah akan melindungi atau membantu mengurangkan jaringan penyebaran penyakit ini. Jangan sesekali kita buat keburukan atau kemusnahan diri termasuk orang lain,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 22, 2020 @ 5:37pm
    d