mutakhir

BNM jawab soalan mengenai perkhidmatan kewangan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

PERKHIDMATAN kewangan antara perkhidmatan penting yang perlu beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac sehingga 31 Mac.

Bank Negara Malaysia (BNM) memberi penjelasan kepada orang ramai mengenai sejauh mana perkhidmatan ditawarkan sepanjang tempoh berkenaan.

Berikut adalah jawapan BNM:

1) Apakah perkhidmatan kewangan semasa tempoh PKP?

i. Terminal layan diri (ATM, mesin deposit tunai, cek, syiling) beroperasi sepenuhnya di lokasi mudah diakses, namun waktu operasi harian dihadkan dari 7 pagi hingga 10 malam.

ii. Perbankan dalam talian, perkhidmatan kad pembayaran dan pemprosesan cek beroperasi sepenuhnya.

iii. Perkhidmatan pengurupan dan kiriman wang masih disediakan di cawangan bank.

iv. Pemprosesan dan pengendalian tuntutan insurans dan takaful, pengeluaran surat jaminan dan pembaharuan polisi insurans dan sijil takaful tahunan.

Penyedia perkhidmatan e-pembayaran juga termasuk dalam kategori e-dagang yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai perkhidmatan penting dan dibenarkan memberikan perkhidmatan di kaunter secara terhad namun BNM amat menggalakkan penggunaan saluran elektronik. Jika perlu elak ke cawangan dan premis penyedia perkhidmatan demi keselamatan dan kesihatan.

2) Adakah semua penyedia perkhidmatan kewangan ditutup atau urusan berjalan seperti biasa?

Penyedia perkhidmatan kewangan yang dibenarkan operasi ialah bank, institusi kewangan pembangunan, syarikat insurans dan

syarikat takaful.

Urusan tidak dijalankan seperti biasa dalam tempoh PKP untuk memastikan langkah penjarakan sosial dipatuhi bagi keselamatan dan kesihatan pelanggan serta kakitangan penyedia perkhidmatan kewangan.

Sesetengah cawangan mungkin ditutup. Cawangan yang dibuka diberi kelonggaran menyediakan perkhidmatan kaunter terhad atau memendekkan waktu urusan.

3) Adakah masih boleh mengakses akaun bank?

Ya, masih boleh terus mengakses akaun bank seperti biasa melalui perbankan mudah alih atau dalam talian dan terminal layan diri.

Perkhidmatan kaunter disediakan tetapi jumlahnya terhad. Bagi orang ramai yang memerlukan perkhidmatan kaunter, sila semak laman sesawang atau hubungi talian khidmat pelanggan bank untuk mengetahui cawangan mana dibuka dan perkhidmatan disediakan.

4) Adakah ATM akan kehabisan wang dan adakah waktu operasi ATM akan berubah?

BNM dan semua bank menyediakan infrastruktur diperlukan bagi memastikan ATM ada bekalan wang tunai mencukupi untuk memenuhi keperluan isi rumah dan perniagaan semasa tempoh PKP. Waktu operasi ATM antara 7 pagi hingga 10 malam.

5) Adakah masih boleh menggunakan e-dompet dan e-akaun?

Ya, semua penyedia e-pembayaran masih beroperasi semasa tempoh PKP.

6) Saya perlu mengirim wang kepada anak saya yang belajar di luar negara, tetapi semua pengurup wang dan penyedia perkhidmatan kiriman wang ditutup. Apa yang boleh saya buat?

Sila semak laman sesawang atau hubungi talian khidmat pelanggan bank untuk mengetahui cawangan bank yang menawarkan perkhidmatan pengurup wang dan pengiriman wang semasa tempoh PKP.

7) Saya sedang mengalami masalah kewangan yang besar. Saya bimbang tidak dapat membayar ansuran bulanan kad kredit dan pinjaman saya. Apa yang perlu saya buat?

Semua bank dan institusi kewangan pembangunan bersedia memberikan kemudahan penstrukturan dan penjadualan semula kepada peminjam yang menghadapi masalah kewangan kesan daripada wabak Covid-19. Hubungi pegawai bank berkenaan.

8) Adakah BNM beroperasi semasa tempoh PKP? Bagaimana cara untuk berhubung dengan pegawai BNM?

Ya. Bagaimanapun selaras keperluan PKP, semua perkhidmatan barisan hadapan termasuk BNMLINK untuk pengunjung ditutup sementara sepanjang PKP.

Selaras dengan Pelan Kesinambungan Urusan BNM, semua jabatan yang kritikal membahagikan operasi kakitangan manakala kakitangan jabatan yang tidak kritikal bekerja dari rumah. Langkah ini untuk memastikan tiada gangguan terhadap fungsi teras BNM sepanjang tempoh PKP.

Orang ramai boleh menghubungi BNM di laman sesawang BNM www.bnm.gov.my, eLINK (https://telelink.bnm.gov.my) atau BNMTELELINK di talian 1-300-88-5465 pada Isnin hingga Jumaat antara 9 pagi hingga 5 petang.

Disiarkan pada: March 22, 2020 @ 6:02pm
d