mutakhir

Modenas hulur sumbangan

Oleh Lizam Ridzuan

SEBAGAI salah satu cara menghargai petugas barisan hadapan mengekang penularan wabak Covid-19, jenama motosikal nasional, Modenas yang juga anak syarikat DRB-HICOM menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka yang terbabit.

Mengambil inisiatif serta penglibatan daripada pelbagai individu serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) lain yang menumpukan hospital-hospital kerajaan sekitar Kuala Lumpr dan Selangor, mereka memilih Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Star, Kedah.

Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan berkata berikutan bilangan kes Covid-19 yang semakin meningkat maka wira barisan hadapan ini perlu terus kekal positif daripada segi mental dan emosi melaksanakan tanggungjawab itu.

“Walaupun sumbangan ini tidaklah sebesar mana namun harapan kami ia dapat dimanfaatkan semua untuk keselesaan kakitangan hospital yang bertugas,” katanya dalam satu siaran akhbar hari ini.

Antara sumbangan yang diberi ialah kipas, cerek elektrik serta air mineral juga sebagai satu penghargaan kepada doktor, jururawat, sukarelawan, pembantu perubatan dan pengawal keselamatan yang terpaksa meninggalkan keluarga demi keselamatan negara.

Disiarkan pada: March 22, 2020 @ 7:29pm
d