mutakhir

Doktor dan jururawat 'dipindah' ke negeri kritikal Covid-19

Oleh Rafidah Mat Ruzki

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menggerakkan kakitangan perubatan seperti pegawai kesihatan dan jururawat dari negeri lain ke lokaliti yang mempunyai kes yang tinggi dalam usaha menangani penularan Covid-19 ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, pada masa sama, pihaknya sudah memulakan usaha mengambil semula jururawat dan pakar yang sudah bersara untuk kembali berkhidmat.

"KKM juga bekerjasama rapat dengan hospital swasta dan sudah mengadakan dua sesi perbincangan untuk melihat kes bukan Covid-19 yang boleh dihantar untuk dirawat di hospital swasta.

"Pada masa sama kita juga mendapat kerjasama dengan doktor dalam Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) selain persatuan pakar bius yang bersedia membantu," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, KKM sudah memperoleh sebanyak 100 alat bantuan pernafasan daripada pembekal tempatan dan membuat tempahan untuk sebanyak 350 alat itu lagi daripada pembekal di China.

Katanya, ia sebagai tambahan kepada sebanyak 945 alat bantuan pernafasan yang kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di seluruh negara.

"Sasaran kita adalah untuk menyediakan sebanyak 300 katil di ICU, dan berdaya menyediakan sebanyak 272 katil manakala sebanyak 3,400 katil lagi disediakan untuk tujuan pengasingan pesakit yang positif Covid-19.

"KKM juga sudah menambah sebanyak enam hospital hybrid menjadikan jumlah keseluruhan hospital untuk merawat pesakit Covid-19 sebanyak 32 hospital dengan satu hospital universiti iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

"Kami juga cuba mendapatkan kerjasama Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) serta Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan," katanya.

Terdahulu, Dr Noor Hisham berkata, KKM sudah menyediakan perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial untuk ahli keluarga dan mereka yang terkesan dari segi emosi akibat daripada kejadian Covid-19.

Beliau berkata, sehingga hari ini, seramai 460 kakitangan KKM menjalani saringan pengesanan Covid-19 dan 0seramai 270 didapati negatif manakala baki 190 masih menunggu keputusan.

Disiarkan pada: March 22, 2020 @ 8:11pm
d